Adam dan Fiza, 33, telah bernikah pada 26 September 2013 hanya selepas dua bulan berkenalan. Namun pada 28 April lalu iaitu selepas tujuh bulan bergelar suami-isteri, kedua-dua mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam. Bagaimanapun, selepas menyedari kesilapan masing-masing, pasangan itu akhirnya sepakat untuk kembali rujuk pada 17 Julai lalu bersamaan 19 Ramadan selepas bercerai pada 28 April lalu.

Menerusi sumber portal berita, Adam dan Fiza telah menceritakan detik dan pengalaman mereka ketika bercerai dan rujuk kembali. Menurut Fiza, mereka rujuk kembali ketika bersahur pada 17 Julai yang lalu. Ketika itu air matanya mengalir kerana tidak sangka langsung mereka akan kembali bergelar suami isteri. Fiza atau nama penuhnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, berkata, perkara itu adalah keputusan yang mengejutkan dan tidak dijangka sama sekali.

“Tiba-tiba masa sahur dia lafazkan mahu rujuk semula. Mengalir juga air mata saya sebab tak sangka langsung. Alhamdulillah mulai dari detik itu, kami kembali sebagai suami isteri. Syukur, Allah mendengar doa saya dan peminat. Saya dapat lihat dia masih sayangkan saya daripada perbuatan dan caranya jadi bila dia bertanya (rujuk), saya tak fikir panjang sebab benda baik buat apa tunggu lama-lama,” luah pelakon Fiza Halim mengenai kehidupan barunya yang kembali bergelar isteri kepada penyanyi Adam AF.

Penyanyi Adam (AF2) pula berkata, dia mengambil iktibar bahawa perceraiannya dengan Fiza adalah satu keputusan yang disifatkan terburu-buru. Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata sepatutnya dia dan isteri perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk bercerai, namun menganggap apa yang telah berlaku ada hikmahnya.

“Apa yang telah berlaku mengajar kami bahawa dalam rumah tangga, kita tidak boleh membuat keputusan terburu-buru jika timbulnya sesuatu masalah. Jangan ikut perasaan sahaja kerana ia boleh membawa padah. Kerana emosi juga, kita boleh membuat keputusan yang buruk sehingga bercerai apabila berbalah,” katanya.

Sementara itu, Adam turut mengakui, sejak dia dan Fiza kembali bersama, mereka dapat merasai kebahagiaan yang lebih berbanding sebelum ini selain menghargai antara satu sama lain. Malah mereka juga dalam proses mengenali lebih mendalam tentang hati budi masing-masing.

“Sebelum ini kami tidak pernah bercakap pun tentang apa yang suka dan kami tidak suka dalam perhubungan ini. Tetapi apabila berbincang tentang perkara ini ia buatkan kami lebih faham keperluan dan keinginan antara satu sama lain. Ia juga membuatkan kami lebih matang dalam menangani sesebuah masalah yang timbul. Alhamdulillah, cuma sema sekarang ini kami berdoa agar mempunyai cahaya mata dengan segera, doakan kami,” tuturnya.- ammboi

Post a Comment

 
Top